About Me

header ads

Lambakan graduan perubatan membimbangkan, kata persatuan doktor


PETALING JAYA: Satu pertubuhan doktor menyuarakan kebimbangan berhubung lambakan graduan perubatan yang belum menjalani latihan amali, selain kurang berkualiti.

Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Syukri Ismail berkata, negara mempunyai lambakan graduan perubatan namun bidang perubatan masih kekurangan doktor.

“Ini maksudnya kualiti mereka juga rendah kerana mereka tidak menjalani latihan amali (housemanship) di hospital.

“Kerajaan pula tidak iktiraf kalau buat latihan amali di luar negara,” katanya kepada FMT.

Ahmad Syukri berkata, purata graduan perubatan dalam negara berjumlah 5,000 orang, manakala dari luar negara pula seramai lebih kurang 2,000 orang setiap tahun.

Beliau yang juga pemilik hospital swasta yang enggan didedahkan nama, berkata masalah itu berpunca daripada sikap kerajaan lalu.

“Mereka dulu terlalu lembut kerana meluluskan lesen yang banyak kepada kolej-kolej swasta.

“Kolej-kolej itu pula berebut memohon untuk ubah status kolej kepada kolej universiti. Sebab apa? Mereka buat fakulti baru, fakulti perubatan,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya, negara ini mempunyai banyak institusi perubatan dengan kualiti yang patut dipersoalkan.

Beliau mendakwa, fasiliti yang disediakan di fakulti perubatan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan, terutamanya di kolej universiti swasta.

“Makmal tiada, hospital tempat nak buat latihan pun tak ada. Habis tu macam mana?” soalnya.

Ahmad Syukri juga menggesa pentadbiran hospital swasta mempertimbangkan kemasukan graduan tersebut untuk menjalani latihan amali di hospital mereka.

“Biarlah tak beri elaun dan gaji sekalipun, sekurang-kurangnya ilmu mereka digunakan dan tidak lupa begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya mengambil berat terhadap kemelut itu dan beberapa langkah diambil bagi mengatasinya.

Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, antara langkah yang diambil ialah mengubah kaedah lantikan secara tetap kepada lantikan secara kontrak.

“Menerusi kaedah ini pegawai berpeluang menjalani latihan amali (housemanship) serta mendapat Pendaftaran Penuh selaras yang disyaratkan di dalam Akta Perubatan 1971 bagi meningkatkan kemahiran klinikal dan pengalaman pegawai,” katanya melalui wakil kementerian kepada FMT.

Kedua, katanya, penguatkuasaan moratorium bagi program perubatan dengan pihak Kementerian Pendidikan sehingga 30 April 2021. Ini bertujuan untuk mengawal had pengambilan (kuota) graduan perubatan oleh universiti dalam negara.

##

Post a Comment

0 Comments