Pertama kali dalam sejarah. Tiga pelajar Sabah menang kes saman terhadap guru 'ponteng' dan empat lagi termasuk kerajaan Malaysia.
🔷 Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah telah memberikan ganti rugi RM90,000 kepada tiga pelajar dalam tuntutan mahkamah terhadap seorang bekas guru dan yang lain, kerana enggan mengajar bahasa Inggeris pada 2017.
🔷 Hakim Leonard David Shim berpendapat bahawa plaintif :- Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung, telah membuktikan kes mereka berdasarkan 'balance of probabilities.'
🔷 Ketiga-tiga mereka telah memfailkan saman terhadap guru mereka, Jainal Jamran, dan bekas guru besar, Suid Hanapi, serta menamakan Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan, dan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan.
🔷 Mereka berkata kerajaan gagal mengambil langkah untuk membetulkan ketiadaan guru tersebut walaupun telah dimaklumkan.
🔷 Seorang pelajar tersebut, Natasha mengatakan dia memfailkan saman itu untuk memastikan pelajar lain tidak akan menghadapi masalah yang sama pada masa hadapan.
🔶 "Alhamdulilah saat-saat yang ditunggu selama hampir 6 tahun perjuangan ini. Masih segar diingatan kejadian kes guru ponteng kelas ini. Kami adalah mangsa-mangsa ketidakadilan guru ini hingga menyebabkan kami gagal dalam peperiksaan Bahasa Inggeris. Namun siapa kita untuk menidakkan ketentuan Illahi." - Calvina Angayung
.................................................................
TIGA pelajar yang memfailkan saman terhadap bekas guru bahasa Inggeris mereka di daerah Kota Belud utara Sabah kerana tidak hadir kelas selama tujuh bulan telah memenangi kes mereka di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.
Hakim Leonard David Shim turut memerintahkan pelajar terbabit diberikan pampasan RM50,000 setiap seorang akibat trauma yang dialami mereka.
Menurut Shim, keputusan itu dibuat selepas tiga pelajar terbabit dinafikan hak perlembagaan masing-masing untuk mengakses pendidikan oleh lima defendan.
Selain Mohd Jainal Jamran sebagai guru Bahasa Inggeris di SMK Taun Gusi; turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas pengetua sekolah itu, Suid Hanapi; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia, dan kerajaan Malaysia.
Shim juga memutuskan lima defendan melanggar kewajipan berkanun mereka mengikut Akta Pendidikan 1966 dengan gagal menyediakan ketiga-tiga pelajar itu untuk menghadapi peperiksaan.
Hakim itu turut mengisytiharkan defendan kedua isitu Suid telah melanggar kewajipannya mengikut Peraturan 3C, 25 dan 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Sehubungan itu, mahkamah menganugerahkan RM50,000 kepada setiap tiga pelajar terbabit dan ia akan ditanggung secara bersama dan berasingan oleh semua defendan.
Daripada jumlah itu, RM30,000 diberikan sebagai ganti rugi nominal atas kehilangan peluang yang dialami tiga pelajar berkenaan.
“Tidak dinafikan bahawa Bahasa Inggeris adalah mata pelajaran teras untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan untuk kemasukan ke mana-mana peringkat pendidikan atau universiti yang lebih tinggi.
“Daripada keterangan yang ada, mahkamah mendapati bahawa pemberian ganti rugi nominal diberikan kepada setiap plaintif berjumlah RM30,000 kerana kehilangan peluang memperoleh gred yang baik dalam Bahasa Inggeris dan kehilangan peluang yang baik dalam hidup mereka untuk menerima yang lebih baik pendidikan pada masa hadapan," kata hakim.
Baki RM20,000 pula dianugerahkan sebagai ganti rugi akibat trauma emosi dan/atau psikologi akibat kesan dan penghinaan akibat ketidakhadiran guru.
Menurut Shim, tiada perintah dibuat mengenai kos kerana perkara itu melibatkan soal hak asasi perlembagaan untuk pendidikan dan perkara kepentingan awam.
Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung memula tindakan undang-undang ke atas defendan dengan memfailkan saman mereka pada Disember 2020.
Mereka mendakwa Mohd Jainal tidak hadir, datang lewat, dan keluar awal dari kelas selama tujuh bulan iaitu antara Mac hingga Oktober 2017.
Mohd Jainal juga menjadi subjek saman serupa yang difailkan oleh Siti Nafirah Siman berhubung perkara serupa. Saman itu masih dibicarakan.
0 Comments