About Me

header ads

Kantin sekolah ala buffet hotel.. harga pun ‘terbaik’


Lazimnya jualan di kantin sekolah hanya biasa saja selain pilihan hidangan yang terhad, tetapi keadaan berbeza di kantin Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menyajikan pelbagai jenis hidangan ala-ala hotel kepada murid dengan tawaran harga berpatutan.

Guru Besar sekolah berkenaan, Ramlee Abu Bakar berkata, suasana kantin seperti hotel bertaraf lima bintang pada awalnya hanya dilakukan bersempena Pertandingan Amalan Pengurusan Kantin Terbaik peringkat kebangsaan namun ramai yang ‘berminat’ menyebabkan dia berbincang dengan pengusaha sebelum meneruskan konsep tersebut.



“Tidak sangka konsep kantin seperti hotel mendapat perhatian ramai sehingga viral dan dikongsikan ribuan individu di laman sosial Facebook,”ujarnya yang dipetik akhbar tempatan.

Konsep berkenaan ternyata berjaya menarik minat murid membeli makanan di sekolah. Murid juga tidak lagi ‘berminat’ membeli makanan di luar.

Ia juga mengubah persepsi orang ramai bahawa penyediaan makanan di kantin sekolah dilaksanakan secara sambil lewa.



Sementara itu, pengusaha kantin terbabit, Mohd Fahmi Ahmad berkata, melalui konsep ala-ala hotel dia perlu memasak 15 jenis lauk dan dihidangkan dengan cara yang lebih moden supaya sajian jadi lebih menarik.

“Walaupun tidak mendatangkan keuntungan yang banyak kerana memerlukan kos agak tinggi tetapi demi menggalakkan guru dan murid makan di sekolah, saya dan isteri tidak memikirkan sangat soal keuntungan sebaliknya berniat sambil berniaga, ia dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

##

Post a Comment

0 Comments