KUALA LUMPUR – Pihak sekolah dibenarkan menugaskan murid-murid sekolah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sekolah.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan namun mendakwa langkah itu bukan disebabkan isu pembuangan ramai pekerja pembersihan sekolah.
Sebaliknya langkah itu kononnya bagi mendidik dan menerap nilai murni rakyat Jepun dalam kalangan murid sekolah.
“Kementerian Pendidikan tiada halangan sekolah yang ingin menugaskan murid melaksanakan kerja pembersihan yang mudah dengan pengawasan guru dan tidak mengabaikan aspek keselamatan.
“Menjadi amalan biasa sekolah-sekolah di negara maju khususnya di Jepun untuk murid-murid turut sama mengambil bahagian aktif secara terancang dalam aktiviti membersihkan sekolah,” kata kenyataan itu hari ini.
Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap isu ramai pekerja pembersihan di sekolah diberhentikan kerja.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan mendakwa tidak terlibat dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pekerja-pekerja kebersihan.
Dakwa kementerian itu, ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak pembersihan di sekolah.
Kementerian Pendidikan bagaimanapun memaklumkan telah mengubah skop kontrak perkhidmatan kerja-kerja kebersihan supaya selari dengan dasar mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan kerajaan yang diamalkan sekarang.
“Di bawah skop lama, penentuan bilangan pekerja adalah dengan mengambil kira enrolmen murid dan penghuni asrama.
“Namun, kriteria tersebut tidak lagi digunakan sepenuhnya dalam penentuan bilangan kontrak bermula 1Januari 2019,” kata kenyataan itu. – Mynewshub
0 Comments