About Me

header ads

Tak setuju tetap harga siling sumbangan PIBG


SHAH ALAM - Saranan penetapan harga siling bagi sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengikut kemampuan setiap ibu bapa tidak dipersetujui beberapa persatuan PIBG.

Yang di-Pertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang, Mohamed Saufi Shafie berkata, cadangan itu dilihat tidak praktikal pada masa kini kerana sistem pendidikan sudah berubah.

Mengambil contoh PIBG sekolah yang dipimpinnya, katanya, sumbangan PIBG adalah RM50 bagi setiap keluarga yang akan digunakan 100 peratus untuk infrastruktur sekolah termasuk menyelenggara kemudahan tandas, kelengkapan sukan dan lain-lain.

"Namun di dalam dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025, penglibatan ibu bapa dan komuniti sangat penting.

"Ia banyak memerlukan kewangan untuk menjalankan program-program lain seperti kecemerlangan pelajar untuk menceburi dalam bidang-bidang di luar akademik sekolah antaranya program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan harga siling bago pembayaran sumbangan PIBG berdasarkan kemampuan ibu bapa.

Mengulas tentang perkara ini, Mohamed Saufi yang juga Anggota Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Kebangsaan menggesa supaya PIBGN berhenti mengeluarkan kenyataan bagi pihak PIBG.

Ia kerana katanya, PIBGN tidak berada dalam sistem PIBG, sebaliknya ia merupakan satu pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Sedangkan PIBG ini berdaftar dengan kementerian, jadi bila dua sistem pendaftaran berbeza, mereka tak boleh bercakap bagi pihak PIBG.

"PIBG ada perlembagaan tersendiri yang mana tak boleh antara PIBG bergabung dengan pihak luar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Kita hanya boleh bekerjasama, tapi bukan dalam bentuk organisasi yang tetap," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-Sekolah Putrajaya, Datuk Seri Dr Suhaime Saad berkata, usul penetapan harga siling sumbangan PIBG tidak pernah dinyatakan sebelum ini kerana ibu bapa sudah bersetuju dalam mesyuarat agung.

"Perkara ini (sumbangan PIBG) diputuskan dalam mesyuarat agung di mana hampir semua ibu bapa hadir. Jika mereka tak bersetuju kita tak kutip.

"Minit mesyuarat tentang perkara ini juga dihantar kepada jabatan pendidikan negeri untuk pastikan ia tiada masalah," katanya.

Menurutnya, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana kutipan sumbangan PIBG sebanyak RM50 di kebanyakan sekolah harian biasa sebelum ini tiada masalah.

"Sudah bertahun-tahun sumbangan PIBG RM50 dikenakan untuk setiap keluarga walaupun harga minyak atau barang naik.

"Tapi sumbangan itu boleh berubah dengan persetujuan ahli-ahli anggota dalam mesyuarat agung sebab biasanya kita ceritakan apa aktiviti yang dibuat.

"Kebanyakan ibu bapa setuju sebab mereka tahu pasal kos dan mahukan anak mereka terlibat dengan aktiviti. Kalau naik sekalipun sumbangan itu, ia tidaklah secara mendadak," katanya.

SINAR HARIAN

##

Post a Comment

0 Comments