About Me

header ads

Polis Selangor pantau salah guna dadah kalangan pelajar sekolah, IPT


SHAH ALAM: Langkah membendung aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi tumpuan utama Polis Selangor ekoran terdapat pelajar seawal usia 13 tahun terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt R Sundralingam berkata statistik dari Januari hingga Oktober lepas menunjukkan sebanyak 37 pelajar sekolah menengah dan 153 pelajar IPT di negeri itu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, berbanding 41 pelajar sekolah menengah dan 204 pelajar IPT yang ditangkap bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata walaupun jumlah kes penyalahgunaan dadah di sekolah dan IPT tidak terlalu serius serta menurun tahun ini, namun ia sentiasa dipantau rapi susulan pihaknya mengesan wujud cubaan masuk “pusher” ke dalam kelompok golongan berkenaan.

“Hasil penelitian, kita dapati dadah jenis ganja dan syabu menjadi antara pilihan pengedar untuk dijual kepada pelajar sekolah dan IPT. Pada mulanya “pusher” akan beri dadah secara percuma untuk menarik minat pelajar, kemudian bila sudah ketagih, mereka pasti membelinya lagi dan ini yang memburukkan keadaan.

“Walaupun isu ini tidak serius, namun kita sentiasa beri perhatian utama kerana tidak mahu ia menjadi parah bagi mencapai hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pendidikan pada masa depan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, polis sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor bagi membantu pihaknya memberi kesedaran kepada golongan muda tentang bahana penyalahgunaan dadah menerusi pelbagai kempen dan bual bicara dengan pelajar.



Selain itu katanya, beberapa langkah proaktif dijalankan pihaknya bagi memerangi kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Selangor, antaranya melaksanakan 5 operasi khas iaitu Ops Tapis Khas, Ops Sarang, Ops Hiburan, Ops Terancang dan Ops Bersepadu.

Beliau berkata dalam Ops Sarang bermula Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 246 “port” penagihan serta pengedaran dadah digempur, menghasilkan penahanan 1,656 penagih dan sarang penagihan dadah paling tinggi dicatatkan di kawasan Kajang diikuti Klang Selatan dan Sabak Bernam selain beberapa tempat di 6 daerah lain.

“Ops Terancang pula dilakukan bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah dan dalam tempoh 10 bulan ini, sebanyak 11 serbuan dijalankan dengan 60 anggota sindiket dadah ditahan. Antara lokasi tumpuan pengedar-pengedar dadah yang besar adalah di bandar utama antaranya Petaling Jaya, Kajang, Subang Jaya dan Ampang Jaya.

“Selain itu, serbuan 2 kali sebulan dibuat di pusat-pusat hiburan dalam Ops Hiburan bertujuan mengesan dan mencegah mana-mana premis daripada menyalahgunakan dadah dan pada tahun ini, sebanyak 121 serbuan dilaksanakan,” katanya.

Sundralingam berkata Ops Tapis Khas pula dijalankan setiap hari dan sebanyak 13,099 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah sejak Januari lepas, manakala Ops Bersepadu dilakukan dengan kerjasama Agensi Anti dadah Kebangsaan dalam siri operasi di Kajang dan Petaling Jaya.

Ditanya mengenai penularan jenis dadah baharu iaitu New Psychoactive Substances (NPS) di Selangor, Sundralingam berkata buat masa ini pihaknya mengesan dadah jenis itu sering digunakan di kawasan bandar selain dalam parti-parti tertutup.

“Mana-mana individu yang menghadiri parti tertutup ini, mereka perlu membayar RM50 hingga RM150 sebagai token masuk dan NPS diberi sebagai “door gift” untuk mereka berseronok. Pada mereka, pengambilan dadah ini sekadar untuk hiburan kerana ia hanya bertahan dalam air kencing setakat 2 hari.

“Walaupun terdapat beberapa kekangan untuk mengambil tindakan terhadap penagih dadah jenis NPS, namun polis sentiasa memantau kegiatan pengedaran seperti ini bagi mencegah ia terus menjadi barah,” katanya.

##

Post a Comment

0 Comments