Ini kerja aku kalau kena relief... ambil gambar candid pelajar |
Beberapa hari lalu sahabat baik aku di Kedah, Zabidi Murad telefon minta aku lihat sikit blognya untuk baiki logo. Aku cakap aku dah pencen 'berblog' atau buat laman web. Dia minta juga.. "sikit aje" katanya.
Dia sangat baik, pernah datang ke rumah aku dengan bapa saudaranya seorang cikgu abang kepada Dinsman penyajak terkenal. Aku tak tolak terus buat. Lagi pun itu hanya kerja kecil tak sampai 10 minit pun.
Oleh karana nak betulkan blog mesti aku dilantik sebagai admin (bukan author) blog tersebut. Bila aku masuk blog tersebut secara tak langsung terlihat blog-blog aku yang terbiar. Nota Tercicir rupanya dah 10 bulan tak update. Blog ZULBMOHD dah 9 bulan tak update juga. Blog-blog mata pelajaran lagi teruk...
Terfikir nak update semula. Tapi malas, kerana ada banyak blog. Maka marilah idea nak cantumkan semua blog ini menjadi satu.
Ya ini idea yang bagus. Jadi aku kena cari tapak sementara untuk pindahkan semua data-data blog ke satu blog baru. Maka kena cari nama blog yang sesuai, tapi malangnya semua telah diambil oleh orang.
Terlintaslah nama "cikgurelief". Bila semak belum ada yang daftar, aku pun daftarlah.
Tahun ini sahaja hampir setiap hari aku kena relief. Kalau tak ada relief itu mesti pelik dan ini bermnakna hampir semua guru hadir ke sekolah. Tapi kebiasaannya 10-15 orang guru biasanya tak ada di sekolah untuk pelbagai urusan dan ini perkara biasa.
Aku tak marah kena relief, walaupun aku Ketua Guru Disiplin (pada kebiasaan sesetengah sekolah Ketua Guru Disiplin dikecualikan relief) pasal aku mengajar tak banyak dan bukan kelas peperiksaan. Mengajar PJK pula tu...
Dulu semasa di SMK Sultan Omar, aku tak pernah kena relief melainakan aku sengaja masukkan nama untuk masuk kelas relief kerana aku adalah guru pembuat relief. Hebatnya aku masa itu (puji diri) aku seorang sahaja guru yang yang membuat relief dan di bantu oleh Ketua Bidang (Pn. Hajah Zaleha Abdullah sekarang Pengetua atau Pn.Aini) atau Penolong Kanan (Pn. Salmah sekarang pencen) jika aku tak ada. Jika aku ada di sekolah aku yang akan membuatnya dan di tampal di tiga tempat, bilik Maklumat (Bilik Jadual Waktu), di pejabat sekolah dan di kantin sekolah. Masa itu mana ada telegram atau whatsapp.
Aku berhenti jadi guru pembuat relief apabila dipecat oleh Ph. Hajah Fatimah Mat Jusoh (semasa itu dia Penolong Kanan di SMK Sultan Omar). Apa taknya datang lewat ke sekolah, semua cikgu tunggu relief aku tak datang lagi (tabiat datang lewat tu sampai sekarang tak boleh diubah... he he). Masa itu nak hantar isteri lagi, anak-anak ke tadika. Kereta pun satu sahaja.
Pn Hajjah Fatimah "beleber" (berleter) panjang dia kata tak payah buat relief lagi, dia akan cari cikgu ganti. Teruk aku kena marah.
Tengah hari tu pukul 12.00 tgh Hajjah Fatimah aku untuk mesyuarat peperiksaan. Aku jawab malas nak masuk tak nak duduk bawah PK kerana cikgu pecat saya. Saya ketua Guru Disiplin, saya kerja bawah PK HEM (Semasa itu Cikgu Awang Junoh sekarang pengetua Teknik) kata aku.
Aku masuk juga mesyuarat peperiksaan kerana aku juru analisis dan satu perangai Pn Hajah Fatimah Mat Jusoh yang orang tak kenali dia jenis 'apa' ah?, kalau nak marah dia terus marah dan dia tak pernah simpan dalam hati bukan esok dia lupa perbuatan dia, pukul 8 pagi dia marah aku pukul 12 dia lupa apa dia kata kepada aku... Payah nak cari orang bersifat demikian kan!.
Dua minggu kemudian aku 'ngajing' (perli).."aiik takkan guru ajk membuat relief sampai 10 orang". Semasa aku membuat relief dah banyak tahun, hanya aku seorang aje. Baru dia orang tahu rasa... dia orang ingat mudah ke nak buat relief. Bukan tekan komputer dan biar aje "REPLACEMENT NOT AVALIBLE". Macam tu budak tadika pun boleh buat.
Bila Pn Hajah Fatimah bertukar ke SMK Tengku Intan Zaharah pada 2004, iaitu sekolah aku sekarang, mungkin idea buat relief sampai 10 orang AJK masih dipratikal.
Jadi nama blog guru relief ini bukanlah negetif. Itu perkara pokok perlu difahami.
Semanjung panggil guru relief, semasa aku mengajar di Sarawak dipanggil "Sit-In" (bukan shit in). Fungsinya sama ganti cikgu yang tak hadir pada waktu mereka.
Kalau aku rajin biasanya akan akan lihat subjek apa yang aku akan ganti. Jika Fizik, Kimia, Biologi, Matematik, Matematik Tambahan dan Sains biasanya aku lihat bab apa dia belajar aku pun mengajarlah.. budak-budak pun hairan. Mereka tak tahu bahawa opsyen aku Fizik & Maths. Dia orang pelik cikgu ICLT dan PJK mengajar Sains siap lukis gambar rajah struktur mata sekali semasa aku relief kelas 3 Ibnu Sina 1. Dia orang cabar aku lukis jantung pula... tapi aku tak jawab.
Engkau orang tahu kenapa aku tak lukis...
Semasa di Kapit, Sarawak aku tiusyen subjek Sains untuk SRP (Sijil Rendah Pelajaran). Itu gambar sekitar tahun 1990an. Yang peliknya aku juga pernah tiusyen Geografi dan Sejarah. Ini aku akan menulis lain kali.
Jadi semasa relief aku pun boleh juga sikit-sikit berbual nak habis masa relief untuk subjek Geografi, Sejarah dan Pengetahuan Agama Islam. PAI yang aku paling masih bab Haji (tingkatan 4 rasanya).. ini aku khatamlah...
Bila mereka tanya apa subjek aku boleh juga menjawab walaupun tak detail.. Mereka tercabar dan itu lumrah pelajar dia akang cuba untuk melawan. Mereka tanya lagi cikgu boleh tak subjek 'Bahasa Arab'. Wah.. dalam hati aku budak kelas 3 Ibs 1 (2018 sekarang) nak perkana aku.
Aku jawab boleh, tapi saya akan soal awak dalam Bahasa Arab. Mereka serentak jawab "Boleh!!". Untuk pengetahuan pembaca kelas 3 Ibnu Sina 1 mengambil pelajaran Bahasa Arab Komunikasi (BAK).
Aku pun tunjuk kepada seorang pelajar lalu bertanya "Man rabbuka?" dengan suara garau. Terus satu kelas gelak. Aku pun terus keluar kelas masuk bilik aku, kebetulan bilik Disiplin sebelah sahaja kelas 3 Ibs 1.
Itu cerita aku masuk relief, tapi kebanyakkan aku pun ponteng waktu relief... baik buat kerja lain. Tak masuk relief sangat berisiko jika apa-apa terjadi kepada pelajar, siapa akan bertanggungjawab. Misalnya ada pelajar bergaduh dan sebagaimana. Pertanyaan pertama cikgu ada dimana? Masa tu baru kita tahu langit itu tinggi atau rendah!
Aku mula transfer data blog Nota Tercicir ke blog baru CIKGU RELIEF. Selepas itu aku transfer pula data daripada blog-blog lain.
dan ada banyak lagi blog...rasanya lebih daripada 10.
Timbul persoalan adakah aku nak biar sahaja blog lama macam itu atau aku nak buat link secara automatik jika dia masuk blog lama terus akan datang ke blog baru CIKGU RELIEF. Masih aku belum buat keputusan. Tapi lebih berat membiarkan sahaja sebagai kenangan....
##
0 Comments