About Me

header ads

PT3 dibatalkan, patutkah aku bersorak?



Beberapa hari lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dibatalkan pada tahun ini. Sebelum ini tahun 2020 juga dibatalkan. Dua kali aku tak boleh merasai bagaimana getirnya guru-guru PT3 menghadapi peperiksaan ini.

Tahun lalu aku mulai mengajar mata pelajaran Asas Sains Komputer (ASK) tingkatan 3, walaupun tak ada sijil IT (sekolah terpaksa ambil aku kerana tak ada guru IT yang boleh mengajar). Ada juga rasa kebimbangan untuk mengendalikan kerja kursus pelajar terutamanya dalam membina programming asas dengan Python. Keronokan mengajar dan pengalaman mengajar tingkatan 3 hancur kerana PKP. Aku tak sempat sempurna selibus tingkatan 1,2 dan 3 dalam kepala sebagaimana Fizik dan Matematik terbenam dalam kepala aku.


Aku mulai 'rileks' dan tidak ada tekanan mengajar bermula tahun 2007 apabila aku tidak lagi mengajar mata pelajaran Fizik. Pengalaman mengajar Fizik sejak 1989 berakhir. Semasa itu Fizik di ajar dalam Bahasa Inggeris membuat aku juga tak berminat untuk mengajar mata pelajaran ini kepada pelajar yang masa itu adalah genarasi pertama PPSMI yang mana pelajar ini telah belajar Bahasa Inggeris selama 10 tahun. teruk juga aku nak mengajar mereka, tersilap sebut aje mesti pelajar akan tegur. Aku pula SPM dulu rasanya BI aku "spek mata" atau mungkin "cok cangkul" (yang faham fahamlah)

Mohd Asri antara anak murid Fizik aku yang belajar
TESL di Victoria University of Wellington New Zealand. Selain itu ada guru-guru baharu yang mungkin berhasrat ingin mengajar mata pelajaran ini.

Aku jadi guru terbiar dengan pelbagai subjek.

Aku mengajar matematik tingkatan 2, malangnya pendekatan penggunaan fail bukan buku latihan menjadikan isu pihak atasan dan akhirnya aku tidak menjadi guru matematik sebagaimana aku diterima dan menguasai matematik di sekolah lama aku SMK Sultan Omar (SMKSO).

Aku bertukar daripada SMK Kapit, Sarawak ke SMK Sultan Omar pada 2 Mei 1994. Semasa itu aku diberikan 2 kelas "paling corok" Matematik tingkatan 3 dan 3 kelas matematik tingkatan 2. Tahun itu tak mengajar lagi Fzik. Kelas paling corok ni ada yang tak tahu membaca, Zaman itu kalau tak lulus matematik tak boleh naik tingkatan 4.


Alhamdulillah semua pelajar aku boleh naik tingkatan 4, termasuk Saharuddin (nama ini aku ingat sampai sekarangm, kalau ada masa aku buat artikel khusus untuk dia). Di SMKSO, selain aku ada guru PJK yang mengajar Matematik iaitu cikgu Delfy, (aku kena jaga betul-betul ejaan, pasal dia cukup marah kalau orang tersalah eja jadi Defly) selain cikgu Wan Fatimah Zaharah (sudah meninggal) dan Noriah Mohd (sudah meninggal). Ini semua guru yang menguasai tingkatan 3. Tingkatan 3 penting masa itu sebab PMR dan matematik perlu lulus. Kerjayaan itu membuat aku akhirnya mengajar Tingkatan 3 dengan Cikgu Noriah sehingga aku serahkan kepada Cikgu Shamsiah yang kini rasa jadi Guru Besar di sekolah rendah.

Aku masih ingat lagi dia jumpa aku, dia kata jarang guru lelaki mengajar mate budak suka walaupun takut... Aku dulu mengajar bertentangan cara dengan cikgu Delfy. Aku bawa rotan, tak ingat sifir jawabnya 'berbilor'... Aku masuk kelas, aku mesti semak buku latihan, semak pen, pensil, pemadam dan pembaris.kalau tak ada 'kena piat'. Tak hairan pemadam akan nampak bekas dikerat-kerat dibahagikan semasa pelajar lelaki... Ramai pelajar perempuan menangis bila aku mengajar. Awalnya mereka sangat benci aku. Tapi bila selepas PMR mereka jumpa aku dan ucap terima kasih.. Termasuk Shaharuddin "mangsa utama" aku yang tak tahu membaca dan menulis.

Cikgu Delfy pula lain pendekatan dengan pelajar, dia masuk kelas dengan satu beg yang penuh dengan pembaris, pemadam, pen dan pensil. Protaktor dan jangka lukis pun dia bawah kalau ada bab geometri. Dia bagi pinjam mana pelajar tak bawa. Malah ada yang dia beri free aje kepada pelajar. Barang itu semuanya dibeli dengan duit dia sendiri.

Dulu aku kontra dengan cara dia, tapi bila aku dah tua, terfikir cara dia "lebih murni". Pasal itu anak-anak dia semua berjaya dan sangat lembut... baik. Allah berikan sifat kasih sayang yang dia curahkan kepada pelajar nakal kepada anak-anak dia. Itu aku tak dapat.... 'lost' orang putih kata.


Lepas tak mengajar mate, aku aku diberi subjek Sains pula. Masa itu mood mengajar aku sudah menurun. Pengajaran aku pun mendatar aje...

Dulu aku di SMKSO pernah mengajar sains. Masa muda aku agresif sikit. Bila aku mengajar pasal mata. Aku suruh pelajar ke pasar minta mata lembu 8 biji. Aku pergi ke makmal sains Biologi 'curi' perkakas bedah mereka 8 set.. Cikgu Salmah sedar.

Aku bedah mata lembu.. tunjukkan gelemaca, gelemair, kornea, retina, kanta mata, ligmen gantung dll. Aku masih ingat lagi cikgu Sains Tingkatan 3, cikgu veteran Cikgu Maimun minta mata dengan aku dia nak bedah juga.


Sains pun lingkup aku di beri subjek Pendidikan Sivik dan Kemanusiaan (PSK). Baru nak menguasai PSK, ada cikgu perempuan mengadu tak 'reti' nak mengajar Pendidikan Seni Visual (PSV). Tiba-tiba aku kena mengajar PSV. Aku ni dulu pelajar sains mana ada belajar PSV, sekolah menengah aku tak pernah ambil pun subjek PSV sebab subjek PSV pilihan dengan subjek Pendidikan Agama Islam (PAI).

Pihak pengurusan ni satu hal, dia bubuh aje. Betul tak ada cikgu boleh bubuh kepada aku. Tapi apa salahnya cakap sepatah dua kepada aku. Aku pun boleh cakap aku cuba kalau ada apa-apa jangan marah. Ramah dengan kita, makan selalu belanja aku tapi bila buat keputusan tak nak cakap sepatahpun. Bila lihat jadual baharu, eeh dah tukar subjek.

Sesiapa pengurusan yang baca artikel ini, janganlah buat macam tu.

Aku mula tak mengajar subjek penting. Aku mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJPK). Aku nak pendekkan cerita, aku akan tulis lain kali pasal PJPK sebab subjek ini paling aku tak suka. Sebab apa tunggu.....

Daripada 2008 sehingga 2018 aku jadi cikgu tak menentu, sekadar mengajar literasi ICTL dan subjek-subjek sampingan yang tak ada cikgu mengajar. Tak mengajar subjek peperiksaan.

Kadang kala aku rasa macam 'terbiar atau terbuang' dan tidak dihargai. Bila aku datang ke sekolah malam... deretan kereta cikgu yang mengajar kelas tambahan tapi aku sekadar datang masuk makmal baiki komputer rosak. Mesyuarat-mesyuarat kurikulum aku tak ada. Banyak mesyuarat nama aku tak ada. Berbeza semasa aku di SMKSO, hampir setiap muka buku pengurusan sekolah ada nama aku. Pasal itu aku terlibat dengan dengan organasasi luar sekolah kerana 'Z' (Orang panggil di Z tapi nama dia Tengku Mohd Zamree, dia bocorkan ketelibatan aku di sekolah melalui buku pengurasan sekolah kakaknya se sekolah dengan aku)

Orang mesyuarat aku bermain PC di makmal ICT. Aku tak ada dalam pembangunan kurikulum sekolah. Peribahasa Melayu sebut seperti "melukut ditepi gantang..."

Aku pernah luahkan perkara ini kepada kawan aku Cikgu Zam... Maybe bila dia naik pangkat jadi Ketua Bidang, tugas aku makin banyak. Aku syak dia masukkan nama aku dalam jawatan agar aku ada dalam arus perdana sekolah.

Tak hairan mulai tahun 2017 aku ada rasa nak pencen awal kerana tak ada kerja nak buat di sekolah. Rasanya nak pencen tu kalau letak peratus lebih daripada 60%. Yang menghalang aku pencen ialah isteri aku.... Kata-katanya sangat menyusuk hati (nanti aku menulis pasal ini). Aku ni jenis lelaki sayang bini (istilah sesetengah orang takut bini he he)


Mood mengajar aku kalau letak peratus masa tu hanya tinggal 30%. Aku lewat ke kelas, aku mengajar tak bersemangat sekadar memenuhi tanggungjawab asas sahaja. Ada orang anggap aku hebat juga he he tapi bagi aku aku adalah guru cemerlang yang gagal...

Tapi sekarang mood aku dah naik semula. Bila aku renung dan kaji, bermula aku jadi guru dampingan Fizik semasa buka sekolah selepas PKP dan makin kuat bila aku ditinggalkan oleh Cikgu Zam keseorangan dengan subjek ASK.

Tahun ini aku terfikir untuk menguji kemampuan aku dalam PT3 nanti. Tapi malangnya PT3 dibatalkan. Adakah aku patut bersorak lega kerana aku jadi guru yang rileks seperti sebelum ini.... Tak ada bebanan. Setiap bulan cucuk kad ambil gaji...??




Post a Comment

0 Comments