ALOR SETAR - Polis sudah mengambil keterangan seorang guru yang didakwa memukul murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Kuala Kedah kerana tidak menyiapkan kerja sekolah pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu laporan prestasi guru berkenaan sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membuat keputusan.
Beliau berkata, berdasarkan rakaman percakapan, guru terbabit mengaku menyesal dengan perbuatannya memukul murid berusia sembilan tahun itu sehingga cedera.
"Guru berkenaan mengaku melakukan perbuatan itu dan menyesal dengan tindakannya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Shukri berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, kes masih disiasat dan tiada sebarang tangkapan dilakukan buat masa ini.
Pada Khamis, seorang ibu mendakwa anak lelakinya cedera dipercayai dipukul gurunya dengan menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.
Wanita berusia 32 tahun itu membuat
laporan polis selepas mendapati lengan kiri, jari kiri dan muka sebelah
kiri anaknya cedera ketika mengambilnya di sekolah pada jam 1 petang.
Sumber : SH
0 Comments