About Me

header ads

Terus berharap dapat mengajar di sektor awam

 


Kuala Lumpur:
Graduan pendidikan dari 13 universiti awam (UA) masih mengharapkan jawatan guru sektor awam.

Atas sebab itu, mereka tetap sabar menunggu tawaran menjadi pendidik di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) selepas menamatkan pengajian walaupun ada yang menamatkan pengajian 10 tahun lalu.

Difahamkan, seramai 4,390 lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing masing antara 2011 hingga 2020 dan sebahagian mereka dikatakan belum mendapat panggilan temu duga.

Hasil kaji selidik oleh Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) membabitkan 13 UA setakat Januari tahun lalu, mendapati isu lambakan graduan pendidikan belum mendapat penempatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 sudah berlarutan sekian lama dan belum nampak ada penyelesaiannya.

Keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan graduan terbabit yang bercita-cita menjadi guru sejak kecil, terpaksa mencari rezeki sebagai buruh kasar, pengawal keselamatan ataupun bertukar pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Jurucakap GGPUA, Chonnel George, berkata isu lambakan graduan pendidikan kini semakin kritikal, khususnya membabitkan siswazah dalam pengkhususan subjek tertentu yang dianggap 'tidak diperlukan', antara lain Matematik, Geografi, Keusahawanan dan Ekonomi.

"Walaupun isu ini telah berlanjutan sekian lama, masih tiada penyelesaian tuntas dilihat diambil hingga kini, tiada jaminan penempatan untuk graduan pendidikan UA.

"Kami yang digelar 'bakal guru' sudah melalui proses pengajian selama lebih empat tahun untuk bergelar pendidik, namun akhirnya tiada jaminan diberikan.

"Keadaan ini semakin kritikal, terutama membabitkan graduan pendidikan dalam kursus yang mungkin 'tidak diperlukan' di sekolah, sedangkan bilangan graduan kursus itu terus bertambah saban tahun.

"Ada graduan kursus tertentu yang tidak dipanggil langsung (untuk temu duga) sejak beberapa tahun lalu sedangkan jumlah pelajar dan graduan terus bertambah," katanya kepada BH.

Berdasarkan data dikumpulkan GGPUA, antara kursus mencatat jumlah tertinggi lepasan ISMP yang belum mendapat penempatan ialah Sejarah dengan 337 graduan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (293) serta Matematik (231).

Reka Bentuk dan Teknologi (227), Pendidikan Islam (205), Ekonomi Rumah Tangga/Sains Rumah Tangga (202), Pendidikan Khas (201), Geografi (171) serta Teknologi Maklumat dan Multimedia (164).

Katanya, kaji selidik GGPUA mendapati hampir 800 daripada 4,390 graduan pendidikan itu masih menganggur, manakala 128 graduan terpaksa memilih pekerjaan yang tidak memerlukan kelayakan akademik demi sesuap nasi.

"Ada graduan yang bernasib baik apabila diterima bekerja di syarikat swasta, namun hakikatnya pemegang ISMP sukar mendapat pekerjaan. Ini bukan soal pilih kerja, cuma bekerja mengikut padanan kemahiran.

"Graduan pendidikan sukar mendapat kerja kerana majikan menganggap mereka hanya akan bekerja sementara sebelum menjadi guru," katanya.

Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, Chonnel mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) membuka peluang kepada lepasan ISMP yang dikhususkan untuk mengajar di sekolah menengah, supaya mengisi kekosongan di sekolah rendah termasuk sekolah jenis kebangsaan (SJK).

"GGPUA ada dimaklumkan baru-baru ini mengenai lebih 1,000 kekosongan di SJK Cina. Justeru, lebih baik lepasan ISMP daripada UA ditempatkan di SJK terbabit. Hakikatnya, graduan pendidikan sudah terlatih sebagai guru dan pasti boleh menyesuaikan diri mengajar di sekolah rendah.

"Yang penting, hati dan tekad mereka untuk menjadi pendidik. KPM perlu mempertimbangkan perkara ini atau mengambil langkah lebih drastik kerana UA masih melahirkan ribuan graduan pendidikan setiap tahun dan jika tiada penyelesaian, lambakan itu akan terus bertambah," katanya.

Post a Comment

0 Comments