KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak menggesa guru di negeri itu diberi vaksin sebelum sekolah dibuka semula.
Presidennya Adam Prakash Abdullah berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak termasuk kanak-kanak dan mereka berusia bawah 18 tahun.
“Bagi melindungi mereka, kita perlu memberi vaksin kepada guru terutama mereka yang berada di kawasan pedalaman Sarawak.
“Ini bagi memastikan persekitaran pembelajaran dan pengajaran selamat
bagi guru dan pelajar, terutama mereka yang tercicir dalam pelajaran
akibat kekangan capaian internet bagi pembelajaran dalam talian,”
katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri patut memastikan semua guru diberi vaksin
secepat mungkin, sebelum sekolah dibuka semula, dan menambah ini akan
melindungi guru, pelajar serta masyarakat luar bandar daripada
dijangkiti Covid-19.
Menteri kerajaan dan perumahan tempatan Sarawak Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak akan menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 daripada Pfizer menjelang hujung bulan, yang akan diberikan kepada kira-kira 90,000 pekerja barisan hadapan.
Katanya, kumpulan seterusnya diberi keutamaan untuk mendapat vaksin tersebut adalah mereka yang berisiko tinggi di kawasan wabak, dan ini termasuk warga emas, golongan yang menghidap kencing manis, darah tinggi serta keadaan kesihatan kritikal lain.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak Ahmad Malie bersetuju dengan Adam dengan berkata guru mesti disuntik vaksin sebelum pelajar kembali ke sekolah.
“Kita tidak dapat menafikan pembelajaran secara bersemuka masih kaedah pengajaran dan pembelajaran paling berkesan.
“Susulan itu, guru mesti diberi vaksin sebelum semua orang kembali ke sekolah, bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah,” katanya.
0 Comments