Bila perut lapar, kita akan teringin makan sesuatu. Kebetulan tengah hari aku tak makan. Selepas aje solat Maghrib aku ajak anak lelaki aku (kebetulan aku dan dia solat bersama di masjid) ke mana-mana kedai makan untuk makan.
Aku singgah satu kedai makan dekat dengan masjid dalam rancangan sempat solat Isya' berjamaah. Dah beberapa kali di sini dan pernah lihat tuan kedai (bos dia kot) ini ada solat berjamaah di masjid.
Pesan nasi goreng sotong, aku 'siap sebut' (sempat) lagi letak banyak sotong. Yang ambil pesanan tersenyum. Bila datang aku 'belek-balek' nasi goreng cari sotong, macam tak jumpa aje. Tapi perut lapar aku makan aje... sambil teringat satu video klip bagaimana petua seorang tua berumur hampir 100 tahun tak ada penyakit pula yang memberikan petua sebelum makan dia bercakap dengan makanan. Sangat menarik.
Katanya bila kita nak makan, pertama kena bersyukur dengan apa yang kita makan, jangan banyak 'songel'. Misalnya kita makan daging kambing atau apa-apa daging, tak payahlah sebut ni bahaya ada kolesterol dll. Itu semua kerja Allah taala. Jadi semasa makan bercakap dengan makanan itu. "aku nak makan engkau, jangan pula engkau "makan" aku. Makan insya-Allah kita selamat daripada penyakit kalau kita makan sebagaimana Islam ajar kita makan.
Apabila teringat video tu aku tak banyak songellah. Kebetulan kedai banyak kucing, datang merenggek di kaki aku. Aku pun cakap dengan kucing tak ada ikan dan daging. Takkan kucing nak makan sotong yang tak ada ni? Aku sudukan nasi goreng beri kepada kucing itu. Dia makan nasi goreng tersebut. Dalam hati 'klas' (hebat) juga kucing ni. Kena juga beberapa sudu sebelum dia bla... Lapar macam aku juga kucing tuan kedai ni!!
Banyak posting di facebook menyatakan kucing datang kepada kita semasa kita makan adalah ujian rezeki, entahlah aku tak pernah jumpa mana-mana sumber sahih tentang perkara ini tapi bolehlah buat panduan kerana ada banyak juga ustaz sebut dalam kuliah.
Berbalik kepada sotong tadi, aku cari sotong dan kumpul sotong dah kecut bila digoreng sebesar kuku ibu jari aku aje. Aku rasa sotong yang diletak itu mungkin lebih kecil daripada dua jari. Nak kata kata dua ekor macam "tak mana sabah" (tak mungkin). Mungkin semua sotong pergi kepada anak aku. Tapi anak aku daripada mula makan sampai balik sebut sotong tak rasa sotong dahlah sangat kecil....
Bila bayar kena RM19.50 termasuk teh peng (teh ais) dan milo peng. Harga nasi goreng sekitar RM7 - 7.50 untuk sotong 5 keping sotong sebesar kuku itu sangat mahal.
Aku tak ambil gambar. Aku letak gambar di atas itu untuk bayangkan nasi goreng sotong yang akan aku dapat nanti. Tapi kita kena ingat rezeki itu Allah punya, tak semua kita nak kita akan dapat. Kalau kita merungut kita marah dengan rezeki yang kita dapat tak mengikut selera kita, penyakit akan datang sebagaimana nasihat orang tua yang panjang umur tadi, Ini juga bertepatan dengan ajaran Islam.
Aku cuba bersabar. Tapi masih datang bisik syaitan untuk tidak puas hati.
Pukul 10 malam tu isteri aku bawa balik nasi tak habis daripada program "Temu Murni SPM" sekolah dia, aku 'bedal' sebungkus... he he
Walau bagaimanapun rasanya aku tak pergi dah ke kedai itu. Bila kita buka kedai makan, kita kena ada niat juga untuk bersedekah. Aku telah buat 'survey' tak rasmi, banyak kedai makan yang laku dan ramai pengunjung kerana sikap tuan kedai yang tak kedekut dan suka bersedekah. Bersedekah bukannya kena bawa duit ke masjid cari tabung.
Aku teringat kata-kata Mr. Os (semoga Allah berkati roh beliau) dalam ceramah akhir hayatnya. Dia kata kenapa saya 'bawa teksi' (menjadi pemandu teksi sedangkan dia pelakon dan pelawak hebat). Bila jadi pemandu kita boleh sedekah kepada semua orang. Sekarang kalau kita nak sedekah 50 sen 30 sen siapa nak terima??
Katanya lagi bila kita jadi pemandu, tambang teksi misalnya RM6.30, jadi kita minta RM6 sedekah 30 sen. Kata-kata Mr Os ini cukup menyusup jiwa aku.
Macam tu kedai makan, kalau letak sotong besar dan banyak takkan kita akan miskin. Niat akje sedekah kepada orang yang datang ke kedai kita. Nabi s.a.w. telah menyebut perkara ini.
Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya. (Sahih Muslim)
Firman Allah yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268)
Seperti aku sebut banyak kedai makan yang maju dan ramai pengunjung kerana mereka tak "kedekut" nak beri pelanggan makan. Malah ada kedai yang jual murah diluar akal pun tak rugi. Kenapa kita tak abil contoh daripada apa yang terpapar dipersekitaran kita.
0 Comments