About Me

header ads

Budaya ikut trend punca masalah sosial


Jika anda pengguna media sosial termasuklah Facebook dan Twitter, anda pasti tahu tentang kisah tular mengenai seorang pengusaha inap desa di Melaka baru-baru ini.

Perkongsian seorang individu bernama Fareez tersebut adalah mengenai luahan rasa terkejutnya apabila kediaman yang disewakan kepada empat orang pelajar institusi pengajian tinggi swasta beragama Islam itu berakhir dengan penemuan yang cukup mencurigakan.

Disewa secara bersama oleh dua orang remaja lelaki dan dua perempuan, Fareez pada awalnya menyangkakan rumah dengan tiga bilik tersebut akan diasingkan sendiri mengikut jantina oleh pelajar berkenaan.

Malangnya, pada keesokan paginya, dia dikejutkan dengan penemuan kondom serta katil yang diubah oleh kumpulan pelajar tersebut hingga memaksa beliau berkongsi tentang perkara tersebut di laman sosial.

Ironinya, masalah sosial golongan muda harapan bangsa ini bukan sekadar mengenai pergaulan bebas semata-mata, malah melibatkan perkara menyalahi undang-undang dan norma manusia.

Semakin berani dan tidak mempedulikan undang-undang apatah lagi hukum agama, golongan muda kini juga dilihat cenderung dengan trend terbaharu menyertai pesta arak, dadah, seks songsang dan banyak lagi.


Kes terbaharu dilaporkan adalah di Seberang Prai, Pulau Pinang. Seramai 25 individu termasuk sembilan remaja wanita ditahan pihak berkuasa ketika sedang hanyut dibuai dadah dalam sebuah inap desa.

Bukanlah isu baharu, masalah ini kekal relevan dibincangkan demi masa depan generasi kini dan akan datang.

Pensyarah Kepimpinan dan Pengurusan merangkap Kaunselor di Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Roslee Ahmad percaya, antara punca utama kepada masalah ini adalah ekoran budaya mengikut trend, terutamanya dalam kalangan remaja.

Menurutnya, remaja masa kini terlalu banyak menghabiskan masa dengan internet dan gajet.

“Dari situlah bermula segala-segalanya. Daripada hanya mendengar muzik, mereka mula tertarik kepada budaya bebas terutamanya dari Barat yang sering dipertontonkan di media sosial.

“Lumrah darah muda, mereka cenderung untuk mencuba sesuatu yang baharu. Ditambah pula dengan situasi sekarang, remaja mahu diri mereka diiktiraf komuniti maya dan satu-satunya cara adalah haruslah mengikut trend serta ‘tidak kolot’,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Aplikasi khas

Tambah Roslee, memandangkan agama serta adat ketimuran menggariskan perlakuan seperti parti bebas dan sebagainya merupakan sesuatu yang salah, kebanyakan remaja secara normalnya akan mempunyai rasa takut untuk mencuba.

“Malangnya, wujud pula kumpulan serta adakalanya aplikasi khas yang sengaja dibina kononnya bagi mengumpulkan dan menyokong mereka yang mempunyai kecenderungan yang sama agar tidak ketinggalan.


“Misalnya, melalui beberapa pembacaan, saya dapati bahawa penganjuran pesta seks songsang tidak dipromosi seperti kebanyakan majlis. Sebaliknya, ia diuar-uarkan melalui aplikasi khusus yang pasti tidak boleh diakses individu tanpa kecenderungan sama,” jelasnya.

Tampil menghulurkan cadangan, terutamanya kepada pihak Kementerian Pendidikan, Roslee percaya kebejatan masalah sosial ini boleh dikurangkan melalui penekanan aspek nilai jati diri sejak di sekolah rendah lagi.

“Arus pemodenan tidak sepatutnya menjadi punca kepada keruntuhan akhlak dan hilangnya jati diri masyarakat.

“Bagi saya, tindakan sepatutnya ialah dengan menyuburkan sebanyak mungkin pengisian tentang akhlak, sahsiah dan moral sedari usia tujuh hingga lapan tahun lagi. Mungkin ia boleh dilakukan dengan mewujudkan modul khas berkaitan jati diri di sekolah,” cadangnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan (Psikologi Sosial), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Azlina Mohd. Khir berpendapat, keluarga masih berperanan penting dalam mengatasi masalah ini.

“Sebagai individu yang paling dekat dengan remaja, adalah penting untuk ibu bapa sentiasa memantau perkembangan serta mengambil tahu tentang apa sahaja berkaitan anak termasuk siapa rakan, aktiviti serta media sosialnya.

“Selain itu, masyarakat sekeliling juga perlu bertindak sebagai komuniti yang mengambil berat terhadap sesama manusia.

“Jika terlihat kumpulan remaja dalam keadaan mencurigakan umpamanya, laporkan kepada pihak berkuasa.

Bukan untuk menghukum atau jaga tepi kain tetapi tindakan kita itu mungkin boleh membantu menyedarkan remaja yang sedang hanyut untuk kembali ke pangkal jalan,” ungkapnya.

##

Post a Comment

0 Comments