About Me

header ads

Semua sekolah di Terengganu beroperasi lancar hari ini

 

KUALA TERENGGANU: Sesi persekolahan penggal ketiga di Terengganu, yang bermula hari ini, berjalan lancar termasuk di 74 buah sekolah yang sebelum ini terkesan dengan kejadian banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Abdul Muie Ngah, berkata tiada sekolah ditutup akibat banjir, termasuk di daerah yang terjejas teruk iaitu Besut dan Kemaman.

Beliau berkata, semua kerja pembersihan dijalankan dengan cepat dan baik hasil kerjasama pihak sekolah, masyarakat setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, sekolah yang terjejas banjir sebelum ini ialah 17 sekolah di Hulu Terengganu, Dungun (11), Setiu (10), Besut (sembilan), Kuala Nerus (lapan), Kuala Terengganu (lapan); Kemaman (tujuh) dan Marang (empat).

"Jumlah murid yang terjejas pula seramai 5,386 orang, namun menurut maklumat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), semua pelajar dapat kembali ke sekolah dan meneruskan pembelajaran seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Sekolah (SK) Pulau Rusa, di sini, yang juga terjejas banjir, baru-baru ini.

Abdul Muie berkata, walaupun banyak peralatan seperti kerusi meja yang rosak akibat banjir, masalah itu dapat diatasi berdasarkan pengalaman JPNT menguruskan bencana itu sebelum ini.

"Bagi kerusi meja yang rosak di sekolah terjejas banjir, kita ambil stok lebih dari sekolah lain untuk mereka guna. Apa yang penting pelajar dapat memulakan sesi persekolahan sama seperti pelajar lain.

"Jika tidak ada uniform sekolah, pelajar boleh pakai pakaian biasa yang sopan untuk sementara," katanya yang juga akan memohon kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mendapatkan gantian kerusi dan meja yang rosak.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya masih menilai dan belum dapat menentukan jumlah kerugian akibat banjir besar kali ini.

Pada 18 Disember lalu, Terengganu dilanda banjir yang disifatkan lebih besar daripada biasa, menyebabkan lebih 40,000 mangsa terjejas dan terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri itu. - BERNAMA

Post a Comment

0 Comments