KOTA BHARU: Penempatan anggota polis sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di sekolah mampu mengekang masalah sosial dalam kalangan pelajar.
Penolong Pengarah URB/E-Sektor, Bahagian Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ismail Mamat berkata, 96 sekolah rendah dan 37 sekolah menengah di negeri ini mempunyai PPS.
Beliau berkata setiap sekolah di negeri ini mempunyai seorang PPS yang selalu ke sekolah di bawah selian mereka untuk mengetahui sebarang masalah sosial yang berlaku.
“Tidak dapat dinafikan dengan penempatan PPS ini dapat mengawal masalah sosial pelajar dan pada masa sama menurunkan kadar jenayah.
“PPS ini akan selalu berhubung dengan pihak sekolah sekali gus sebarang masalah akan diketahui dengan lebih awal sebagai langkah pencegahan.
“Mereka (PPS) turut terbabit dalam semua program yang dianjurkan sekolah bagi mengetahui segala perjalanan pengurusan sekolah yang membabitkan pelajar,” katanya ketika sidang media di Program Back To School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program itu Pengetua SMK Kubang Kerian 1, Khairani Sabtu.
Mengulas mengenai Program Back To School, Ismail berkata, ia membabitkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan dengan menjemput polis menyampaikan ceramah mengenai pencegahan jenayah.
“Pegawai polis yang dijemput untuk berucap perlu memilih sekolah asal mereka. Saya sebagai alumni sekolah ini berbesar hati untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar supaya menjauhi perbuatan jenayah.
“Dalam pada itu kami turut mendedahkan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang kepolisan,” katanya.
BERITA HARIAN
0 Comments