About Me

header ads

Lebih 1,000 sekolah ditutup akibat jerebu di Sarawak


KUCHING:
Sebanyak 1,037 sekolah diarah tutup di Sarawak hari ini akibat jerebu, dengan keseluruhannya membabitkan 325,392 pelajar.

Arahan penutupan itu masing-masing membabitkan 901 sekolah rendah dan 136 sekolah menengah di kawasan barat dan tengah negeri ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad, berkata Sibu mencatat jumlah tertinggi apabila 116 sekolah diarah tutup, diikuti Padawan (100 sekolah).

Kuching pula menyaksikan sebanyak 87 sekolah ditutup, Bau (44), Lundu (34), Sri Aman (41), Lubok Antu (30), Selangau (23), Kanowit (38), Julau (37), Meradong (36) dan Samarahan (59).


KEADAAN jerebu di Sri Aman yang kembali mencatat tahap merbahaya dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada 300. - Foto ihsan APM

Turut ditutup 54 sekolah di Simunjan, Serian (86), Mukah (32), Dalat (29), Daro (45), Betong (54) dan Saratok (59).

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Pihak sekolah diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penutupan sekolah berikutan kejadian jerebu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Ini bagi memastikan kesihatan murid dan guru terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Sementara itu, berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 6 pagi, Sri Aman kembali mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya apabila mencapai bacaan 301.

Empat lagi Stesen Pengawasan Udara Automatik berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching dengan bacaan 252, Samarahan (220), Sibu (207) dan Sarikei (237)

Sementara itu, empat lagi kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Mukah (167), Bintulu (119), Samalaju (105) dan Miri (101).

Semalam, laman web World’s Air Pollution: Real-time Air Quality Index (WAQI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS),menyenaraikan enam lokasi di Sarawak antara kawasan pencemaran udara tertinggi dunia.

Ia berlaku berikutan masalah jerebu rentas sempadan apabila 788 tompok panas dikesan di Kalimantan dan 261 lagi di Sumatera, Indonesia, petang semalam.

Lebih memburukkan keadaan, sembilan tompok panas turut dikesan di Sarawak iaitu enam di Tatau, Marudi (2) dan Belaga (1).

Bagi mengurangkan keadaan berjerebu itu, operasi pembenihan awan (OPA) akan dilaksanakan di Sarawak hari ini.

Operasi berkenaan akan dilaksanakan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching pagi ini bermula dengan membancuh garam sebelum penerbangan pesawat Hercules C-130 untuk menyembur larutan air bergaram itu dijadualkan tengah hari ini.

- BERITA HARIAN

Post a Comment

0 Comments