About Me

header ads

Perkukuh Pentaksiran Tahap Satu dengan PBD


PUTRAJAYA: Pentaksiran Tahap Satu yang dilaksanakan pada tahun depan akan diperkukuhkan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bertumpu kepada kaedah pembelajaran secara didik hibur dan berteraskan murid.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata pentaksiran berkenaan adalah bagi membina dan memperkukuhkan kemahiran asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul sebelum melalui proses pembelajaran seterusnya.

“Justeru, tiada lagi peperiksaan pertengahan dan akhir tahun manakala guru akan lebih memberi tumpuan mengajar dari aspek membina kemahiran karektor dan sahsiah serta membebaskan murid daripada tekanan belajar untuk peperiksaan.

“Murid dinilai secara berterusan dalam pelbagai bentuk pentaksiran yang sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari aspek penilaian merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat bersama media mengenai pelaksanaan Pentaksiran Tahap Satu di sini, hari ini.

Amin berkata, pentaksiran itu juga akan bertumpu kepada perkembangan pembelajaran murid atau berorientasikan pembelajaran dan tidak lagi menekankan atau berorientasikan peperiksaan.

“Berikutan itu, guru boleh melaksanakan pelbagai kaedah penilaian kepada murid seperti kuiz, ujian bertulis, permainan selain projek mudah.

“Namun, guru tetap tertakluk kepada pelaporan asas iaitu Pelaporan Perkembangan Pelajaran Murid bagi memantau perkembangan murid mengikut skala tertentu, sekali gus tidak bersandarkan peperiksaan.

“Justeru, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan penaksiran secara formatif ini kerana ia sudah lama dilaksanakan sejak 2011 dan kali ini, ia diperkukuhkan lagi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, tiada lagi keperluan pengasingan kelas untuk tahap satu secara kekal atau berterusan tetapi boleh dilaksanakan jika ia bersifat sementara yang mempunyai tujuan khusus untuk proses pemulihan murid.

“Pihak sekolah diberi autonomi untuk melaksanakan PdP serta PBD dengan bimbingan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

##

Post a Comment

0 Comments