Ketika musim peperiksaan ini tentu bermacam2 jenis tekanan dihadapi oleh anak-anak ketika berada di dewan peperiksaan. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang pernah mengalami mati akal yakni keadaan di mana semasa berdepan dengan kertas soalan tiba-tiba otak macam tidak berfungsi, tidak tahu bagaimana nak mula menulis dan apa yang hendak ditulis di atas kertas jawapan. Ada juga yang memanggilnya "thought block" atau "head block". Walaupun persediaan sudah dibuat secukupnya tetapi masih mengalami mati akal. Ia mungkin salah satu sebab mengapa pelajar2 yang asalnya cemerlang tiba-tiba mendapat keputusan di luar jangkaan.
Proses mendapatkan maklumat, menyimpan dan mengekalkannya di dalam otak melibatkan 3 bahagian iaitu hipotalamus, hipocampus dan prefrontal cortex . Tiga bahagian ini bertinteraksi sehingga seseorang mampu untuk memahami, mengambil, menyimpan dan memproses maklumat. Hipotalamus adalah bahagian otak yang menjadi jambatan di antara emosi dan sensasi fizikal melalui ransangan sistem endokrin (hormon). Apabila seseorang mengalami stres yang keterlaluan, hipotalamus akan meransang rembesan hormon stres yang bernama Noradrenalin dan Kortisol. Kedua-dua hormon ini jika berlebihan akan menganggu fungsi hipocampus dan prefrontal cortex sehingga anda tidak dapat mengeluarkan maklumat yang disimpan dan sukar untuk melakukan sebarang aktiviti kognitif yang logikal. Keadaan inilah yang menyebabkan anda mengalami mati akal.
Kebanyakan mati akal yang dialami oleh pelajar-pelajar adalah tekanan biasa dan bukan petanda masalah mental yang serius. Tetapi ada juga mati akal yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang lebih serius seperti penyakit otak dan psikosis. Punca utama mengapa pelajar mengalami mati akal semasa peperiksaan adalah stres akibat suasana peperiksaan dan terlalu takut untuk gagal. Mengelabah dan fikiran yang terlalu jauh seperti menganggap peperiksaan ini akan menentukan kerjaya dan kejayaan masa depan juga boleh menyebabkan mati akal. BAGAIMANA MENANGANI MATI AKAL
Daripada penjelasan di atas, jelas menunjukkan bahawa mati akal adalah berpunca daripada tekanan ataupun stress yang keterlaluan dialami semasa menduduki peperiksaan. Maka terdapat beberapa panduan bagaimana anda dapat mencegah dan menangani masalah mati akal. Di antaranya adalah seperti berikut:
1. Apabila anda membuat persediaan semasa mengulangkaji pelajaran, sebagai satu latihan cuba sekali sekala lakukannya di dalam keadaan tertekan seperti mana anda sedang menduduki peperiksaan. Salah satu kaedah yang sering dilakukan adalah dengan menjalani ujian percubaan samada di rumah ataupun di sekolah. Ujian percubaan mempunyai peranan penting bagi membiasakan diri anda untuk mengalami suasana seperti peperiksaan sebenar.
2. Persediaan yang rapi adalah kunci untuk menjadikan anda lebih yakin. Amalkan kaedah belajar yang betul seperti tidak terlalu bergantung kepada menghafal sebaliknya memahami konsep tentang subjek yang dipelajari. Amalkan kaedah menulis nota ringkas untuk memudahkan ulangkaji. Kaedah mengingat dengan menggunakan mneumonik boleh membantu meningkatkan keupayaan menyimpan maklumat.
3. Persediaan mental sebelum peperiksaan adalah penting. Bagi penuntut beragama Islam, melakukan ibadat dan berdoa adalah kaedah yang berkesan supaya dapat menghayati konsep usaha, tawakal, qada dan qadar. Dapatkan restu ibubapa dan guru sebelum peperiksaan.
4. Kurangkan stress ketika peperiksaan dengan tidur yang mencukupi sebelum hari peperiksaan, elakkan belajar di saat akhir (“last minute”) dan jangan "stay up" malam sebelum peperiksaan.Jangan terlalu berharap dengan soalan ramalan dan berbincang mengenainya di pagi peperiksaan. Jauhi rakan-rakan yang negatif yang cuba melemahkan semangat anda.
5. Jika berlaku mati akal, berhenti sekejap, tarik nafas panjang melalui hidung dan lepaskan perlahan-lahan keluar melalui mulut yang dimuncungkan. Sambil lakukan senaman pernafasan ini fikirkan yang peperiksaan ini sebenarnya tidak susah dan anda boleh lakukannya. Ada yang mencadangkan supaya anda tidak memandang ke bawah pada kertas soalan sebaliknya cuba dongak ke atas untuk seketika.Ingat mati akal tidak akan berlarutan, jika anda bertenang dan lebih relak, ianya akan hilang dan anda akan dapat meneruskan peperiksaan.
0 Comments