About Me

header ads

Sepanjang hayat aku 2 kali aku bersumpah


Sepanjang aku ingat 2 kali aku pernah bersumpah.Ini bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi dan Watallahi..Ini bukan bersumpah junjung Quran, atau letak Al Quran di dada semasa belajar mengaji quran. Atau pangkah Alif Lan Lan Ha... di belakang atau dada!

Satu semasa darjah 2 dan satu lagi semasa darjah 5. Sumpah yang darjah 5 tu akau telah di'matikan' ketika aku berumur 30 tahun dengan puasa 3 hari.

Yang bersumpah darjah 2 tu masih kekal sampai sekarang.

Dalam pengkongsian pintar siber ni aku nak cerita pasal sumpah darjah 2 tu... Ok semasa aku darjah satu aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pusat Dungun

Gambar Darjah 6.. mana aku ?
Bila balik ke sekolah aku melalui sebuah kedai runcit kecil seorang mak cik. Aku tak membeli pasal semasa ke sekolah aku hanya diberikan duit 5 sen sahaja. Kami keluarga miskin.. dengan duit 5 sen  boleh beli nasi lemak atau mee goreng sebungkus tanpa air.... Minum air paip jawabnya. Air masa itu 5 sen juga.

Di kedai makcik tu ada jual tikam... (lihat gambar atas)

Tikam ada macam-macam jenis. Ada yang hadiah mainan, air botol, mercun kalau musim mercun dan ada duit sehingga paling besar RM10 tapi biasa RM1 atau RM2 ringgit aje.

Tikam ni kalau dihalusi adalah judi. Tapi dulu mana ada kefahaman agama macam sekarang.. masyarakat tak sensitif perkara ini. Pernah bulan puasa abang aku tikam dapat air botol kickapoo.. bulan puasa dan selepas raya tu musim tikam-tikam... Kami berbuka puasa dengan air botol hasil menang judi!


Bila balik sekolah aku mulai "menikam".. Duit belanja digunakan untuk tikam dan di sekolah aku berlapar! Tabiat ini berlarutan sehingga darjah 2. Biasakan judi memerlukan duit lebih.. aku mula selongkar rumah.

Biasa rumah dulu setiap tingkap (pintu) ada rak di atasnya dan kebanyakkan diletakkan tin biskut, milo dan ada sesetengah simpan kotak rokok kosong.


Bila aku angkat tin ada duit 10 sen, lalu aku ambil dan duit itu aku buat tikam... Tak menang pun (kena)! Tiba bila balik emak aku tanya pasal duit bawah tin milo.. Aku kata aku tak tahu...

Dalam hati duit 10 sen pun emak aku tahu ada dimana.. Bila aku fikir sekarang mungkin dulu duit sukar nak dapat jumpa duit 10 sen atas tanah, lalu digilapkan dengan pasir menggunakan tumit kaki. Sekarang duit jatuh pun ada sesetengah tu  tak ambil pun!

Selepas itu aku rasa amat bersalah kerana berbohong dengan emak aku.. dan membuat aku menyesal. Aku ke tepi alor (paya) di sebelah pokok gelang tikus dan pokok putat aku bersumpah tidak akan tikam lagi dengan nama Allah bersaksikan pokok kiambang (keladi bunting).

Sumpah tu sampai sekarang aku tak langgar. Berbeza dengan sumpah kedua semasa darjah lima aku matikan dengan puasa 3 hari, Sumpah itu dengan linangan air mata disaksikan pokok kelapa manis (nyiur manis - sekarang aku tak jumpa kelapa jenis ini, kalau pembaca tahu boleh share..)

Aku selalu lalu di hadapan pokok kelapa itu (walau dah tak ada pokoknya hanya tinggal kenangan) dengan kereta. Setiap kali aku lalu isteri aku akan komplain. Dia memang tak suka sebab jalan itu sangat berlubang dan berpasir. Dia macam tak puas hati... aku tak komen apa-apa pun senyap aje..

Baru ini aku lekat kereta di situ... rasanya selepas tak boleh lihat kenangan itu..

Sebenarnya kenangan itu mengubah corak hidup aku.. kalau tak aku mungkin jadi "ahli sufah" dan itu dimanakan takdir! Aku lalu menginsafi diri dengan tanggungjawab seorang isteri dengan lima anak yang pasti Allah akan mempersoalkan aku.. tak terjawab aku nanti!!

Hasil daripada sumpah tak tikam aku mula bersikap jujur dan mengambil berat tentang tanggungjawab kewangan keluarga. Banyak hikmahnya kalau nak tulis sukar difahami oleh pembaca pasal 'ilmu dan keberkatan' itu adalah suatu yang sangat kompleks

Pasal itu bila aku dah berumah tangga aku macam kedekut dengan anak-anak pasal duit. Bukan tak ada tapi untuk mendidik.. anak-anak aku tak faham.. sebagaimana tak fahamnya kenapa aku mengadap komputer seperti melebihi daripada keluaraga dan anak-anak.

Sikap ayah dan ibu yang baik akan dapat kepada anak-anaknya.. ilmu ini akan turun kepada anak-anak dan bukan semua anak akan dapat kebaikan ayah dan ibu.

Aku ada seorang kawan penasihat agama... dia juga dapat daripada ayahnya ilmu tapi dia sedar selepas ayahnya mati. Abangnya seorang pengamal ilmu persilatan dan mencari guru merata tempat dan jadi guru silat. Dia cakap kepada aku dia dapat ilmu persilatan ayahnya.. rupanya tak payah cari tok guru... di rumah pun dah ada yang lebih hebat daripada tok abangnya.

Dia pun dulu cuba belajar al Quran dengan seorang guru yang 14 tahun tinggal di Mekah.. bila dia belajar tok guru tanya sebelum ini siapa ajar dia. Dia jawab hanya dengan ayah ayahnya sahaja.. Tok guru kata yang boleh ajar macam ini mesti seorang hafiz dan tok guru minta dia belajar sampai habis dengan ayahnya.. Dia kata tak, ayahnya seorang penoreh getah aje.. Tapi bila dia renung baru dia sedar rupanya ayahnya memang hafiz dan mempunyai ilmu yang tinggi dan amalan yang baik.

Seingatnya baru dia sedar ayahnya tak pernah makan dimana-mana kedai walaupun semasa dia bawa perjalanan ke KL... dulu ingat ayahnya jenis orang tua 'payah basa' tapi rupanya ayahnya jenis orang yang menjaga makanan...

Dia cakap bukan ilmu agama dia dapat tapi ilmu persilatan.. tapi dia tak amal pun. Abangnya tak dapat dengan ayahnya tapi dapat daripada orang lain..

Aku pernah bawa anak-anak aku ke kedai, ada seorang tu aku cuba untuk belikannya barangan tapi dia tak anak.. semasa dalam kereta, aku tanya kenapa dia tak nak adakah dia tak suka? Dia memang berhajat tapi dia fikir duit perlu beli perkara lain.

Aku cuba untuk menurun apa yang baik bila anak-anak matang, tapi kadang kala bila dia matang dan boleh berfikir dia mula berfikir bukan-bukan dan kita akan dipersalahkan...

Adakah aku macam kawan aku bila mati.. baru anak-anak aku tahu aku cukup sayang mereka?

##

Post a Comment

0 Comments