About Me

header ads

Kes dera pelajar, pasangan penjaga pusat tahfiz di Ampang dituduh esok

 


PETALING JAYA:
Pasangan suami isteri yang juga penjaga sebuah pusat tahfiz di Ampang yang dikaitkan dengan kes dera lapan pelajar di situ akhir bulan lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, polis sudah selesai menjalankan siasatan dan kes telah dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Suspek pertama iaitu tenaga pengajar tahfiz akan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, suspek itu juga akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Katanya lagi, suspek kedua pula akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis sebelum ini menyerbu pusat tahfiz berkenaan dan menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara tujuh dan 15 tahun.

Pasangan suami isteri yang menjalankan pusat tahfiz berkenaan di Taman Tun Abdul Razak, sejak Oktober 2020 turut ditahan.

Farouk berkata, penderaan itu dikesan selepas laporan polis dibuat terhadap pusat tahfiz berkenaan selepas seorang bapa mendapati anaknya menangis dan ketakutan serta mengadu didera pasangan suami isteri yang menjadi penjaga pusat tahfiz berkenaan.

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments