About Me

header ads

Beri peluang kepada guru, tingkatkan latihan perguruan bagi PdPR

 


KUALA LUMPUR:
Baru hampir seminggu sesi persekolahan bermula, wujud rasa ketidakpuasan hati sesetengah ibu bapa dengan cara pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ada mendakwa guru tidak cukup bersedia mengajar melalui pendekatan PdPR hingga mengganggu proses pembelajaran.

Bagaimanapun, ‘orang kuat’ dalam industri pendidikan berpendapat warga pendidik itu seharusnya diberi ruang dan peluang untuk menyesuaikan diri dengan cara baharu.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hasan berkata latihan pendidikan perguruan yang berkaitan boleh diperkenalkan kepada guru sedia ada bagi mendedahkan mereka dengan kaedah dan proses PdPR yang proaktif.

“Memandangkan PdPR ini agak baru diperkenalkan, semua pihak hendaklah memahami situasi semasa dengan memberi ruang dan peluang yang mencukupi kepada warga pendidik untuk benar-benar fasih dan mahir membudayakan PdPR dalam kehidupan pendidikan.

“Maka dalam masa sama, dicadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil seorang dua pendidik yang pakar dan mahir dalam PdPR sama ada orang tempatan atau dari luar negara, untuk mendedahkan kaedah dan prosesnya kepada guru-guru ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Ali berkata kursus tersebut boleh dilakukan secara dalam talian atau secara bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, bagi memperlengkapkan guru-guru agar tidak lagi kekok mengajar di hadapan skrin monitor.

Dalam masa sama, latihan semula intensif kepada pendidik seperti guru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), guru Bahasa Inggeris dan guru vokasional perlu dilakukan segera dan secara berkala.

Tambahnya, dalam masa sama beberapa kekangan asas yang masih dihadapi negara turut perlu diberi fokus utama kerana meskipun guru sudah berkebolehan, namun matlamat PdPR tidak akan tercapai sekiranya masih wujud banyak tembok halangan.

“Antaranya, masalah liputan (internet) yang belum menyeluruh khususnya luar bandar; kesediaan peranti dan alatan lain yang mencukupi; bahan E-buku teks yang sistematik; bantuan tenaga teknikal segera setempat; penjadualan tugasan dan kurikulum seimbang; keseronokan belajar dan tidak terlalu stres menghadap komputer dan peranti sahaja serta pemantauan dan penilaian setiap tahap PdPR yg berkesan,” katanya.

Sementara itu, senada dengan Mohamad Ali, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata pada masa depan, kursus PdPR perlu dimasukkan dalam kurikulum kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan juga Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Katanya dalam masa sama, KPM juga perlu meningkatkan dan memantapkan lagi kursus peningkatan kemahiran kepada para pendidik, khususnya selepas suasana persekolahan kembali normal dan dapat berjalan seperti biasa.

“Aspek latihan kepada guru-guru dalam bidang PdPR sememangnya keperluan selepas ini… walaupun sekolah dibuka seperti biasa selepas ini, PdPR nanti akan menjadi medium sokongan penting kepada persekolahan secara bersemuka,” katanya.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata rata-rata guru pada tahun ini sebenarnya sudah bersedia mengajar melalui PdPR memandangkan mereka telah berhadapan dengan situasi tersebut pada tahun lepas, namun tidak semua murid mempunyai kesediaan untuk belajar dengan cara tersebut.

“Tahun ini adalah tahun kedua guru menggunakan PdPR sebagai medium pengajaran… tahun lepas, kerana ia datang secara tiba-tiba dan tanpa perancangan pihak KPM, memang diakui guru tiada pengalaman dan kemahiran, jadi bagaimana untuk mengurus dan mengelolakan PdPR.

“Tetapi untuk tahun ini, KPM, pihak sekolah dan guru-guru sudah tahu bahawa sesi persekolahan adalah pada zaman Covid-19, jadi pelbagai persediaan awal telah dibuat.

“Apa yang menjadi permasalahan sekarang ialah murid-murid ada pelbagai kategori dan tahap dalam aspek kesediaan belajar melalui PdPR, jadi itulah punca masalah,” katanya sambil meminta diberikan ruang kepada guru untuk menjalankan perancangan yang telah mereka susun.

Aminuddin berkata setiap pihak perlu akur bahawa impak PdPR tidak akan sama dengan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah memandangkan PdPR adalah sokongan kepada proses pembelajaran bersemuka yang tidak dapat dilaksanakan kerana sekolah ditutup akibat Covid-19.

“Pada masa yang sama, kita perlu sedar bahawa terdapat pelbagai kategori murid… ada yang ada peranti dan capaian internet, ada yang hanya ada peranti sahaja tanpa capaian internet, ada yang ada peranti dan capaian internet tetapi kena bergilir-gilir dengan adik-beradik lain atau tunggu bapa balik dari kerja sebab hendak pinjam telefon bapa dan ada yang tiada apa-apa,” katanya. - FMT

Post a Comment

0 Comments