About Me

header ads

Guru cantik, bergaya tarik perhatian anak didik


MELANGKAH
masuk dalam kelas, mata pelajar tak kelip memandang cikgu, mulut hampir terlopong. Tak sabar menanti aksi cikgu mengajar di depan kelas. Semangat hendak belajar bertukar jadi lain macam.

Setiap butir bicara dari bibir cikgu itu dinanti. Sambil itu, dari hujung rambut sampai hujung kaki cikgu itu diperhatikan. Tambah pula si cikgu bijak mengatur bicara dan gelagat diri.

Itu penangan aura dibawa guru cantik dan bergaya tidak kira gender, automatik perwatakannya akan berjaya menarik perhatian kebanyakan pelajar.

Malah tulisan Ab. Aziz Yusuf dalam buku terbitan Universiti Utara Malaysia bertajuk Pembangunan Modal Insan, Teras Pendidikan Negara (2009) juga ada menyentuh mengenai kepentingan aura dalam pembangunan modal insan. 

Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Satak, Raub, Pahang, Wan Mohd Khairi Wan Hassan, 29, antara berjaya memanipulasikan auranya. Di laman Instagram miliknya @vnkery  sahaja cecah lebih 37k pengikut terdiri murid, peminat dan kalangan guru sendiri.

Melihat wajah dan penampilannya bersahaja, pasti ramai menyangka beliau seorang model atau pun artis. Hakikatnya, sudah enam tahun pemegang Ijazah Sarjana Muda Perguruan Reka Bentuk dan Teknologi ini bergelar pendidik.

Menurut Mohd Khairi, beliau sendiri sebenarnya seorang yang mementingkan penampilan khususnya apabila melangkah keluar dari rumah.

"Bagi saya penampilan diri seseorang guru itu penting, barulah murid pun ada semangat nak belajar. Tambahan pula saya mengajar di sekolah Orang Asli, sudah tentu guru antara ikon untuk mereka contohi, terutama dari aspek penjagaan kebersihan diri.

"Walaupun gemar bergaya cara sendiri, namun seperti saya tetap tertakluk etika berpakaian penjawat awam yang perlu dipatuhi," kata suami kepada Nurhartini Mohd Ghani, 29, berasal dari Setiu, Terengganu ini.

Penerima Anugerah Guru Ikon 2016 sempena sambutan Hari Guru peringkat Daerah Raub ini juga gemarkan pendekatan muzik dalam mendidik muridnya. Hasilnya, menurut Khairi, dari 'kosong' perkembangan seni muzik, SK Satak kini sampai ke peringkat kebangsaan, misalnya terlibat persembahan bagi acara rasmi kerajaan.

Gemar berkongsi momen di Instagram, katanya kadangkala ia bertujuan berkongsi cara pendekatannya terhadap murid dengan guru lain.

Bantu yakin diri


Guru, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 24, juga mengakui aura  pendidik main peranan penting.
"Tidak salah jika cikgu hendak bergaya ke sekolah, namun harus ikut etika berpakaian ditetapkan bagi penjawat awam seperti saya sendiri. Tambahan cara berpakaian bantu menaikkan keyakinan diri guru itu sendiri.

"Personaliti guru juga beri kesan siapa melihat dan tarik perhatian, terutama murid sekolah rendah. Guru kemas, cantik dan bersih, pasti beri contoh pada murid," katanya.

Penyanyi dikenali dengan nama Tasha Manshahar ini mengakui lebih gemar tampil berpakaian polos apabila mengajar di sekolah. Tasha berkata, walaupun bergelar artis, beliau bawa diri sebagai guru biasa apabila mengajar di sekolah.

"Biasanya aura artis itu saya tinggalkan di luar pagar sekolah. Saya tak mahu ada jurang dengan guru-guru dan murid di sekolah.

"Saya gemarkan pendekatan permainan, mewarna dan muzik bila mengajar. Yang penting murid belajar dalam keadaan seronok," katanya.

Apa pun bagi GPS, penampilan Tasha yang sederhana tetap punya aura tersendiri menarik perhatian muridnya.

"Wow, hensemnya cikgu hari ini?"

"Cikgu selalu nampak cantiklah."

"Eh, itulah cikgu yang aku suka."

Boleh dikatakan murid-murid cuci mata apabila nampak cikgu yang kacak, cantik dan bergaya datang di kelas. Pasti hilang rasa mengantuk. Tambahan pula cikgu tersebut bijak mengajar dan pandai mendekati hati murid.

Tidak hairanlah jika sebilangan guru menjadi viral di laman sosial apabila dirinya persis artis popular dari segi paras rupa dan penampilan.  Mungkin ada yang tertanya adakah mereka yang dilihat dari luaran itu sehebat dengan kemahirannya dalam mengajar serta mendidik murid.  

Pengarah Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Noraini Ahmad berkata, apabila bercakap mengenai penampilan diri, bukan sahaja guru malah sesiapa sahaja perlu jaga. Penampilan yang menarik bukanlah yang dimaksudkan berpakaian seksi dan solekan tebal. Itu adalah istilah yang tersasar, sebaliknya ia merujuk elemen bersih dan kemas.

"Apa yang dimaksudkan di sini adalah pakaian yang kemas, tidak menjolok mata dan beretika. Si pemakai tahu memilih rekaan pakaian yang sesuai untuk dirinya, pemilihan warna dan kekemasan. Selain itu, faktor lain menarik hati seseorang itu adalah perilakunya.

"Jika baju berwarna kusam dan gelap, ia kurang ceria. Aura warna tertentu mampu memberi impak kepada pelajar. Penampilan guru secara langsung memberi pengaruh kepada pelajar untuk mengikutinya.

"Untuk kelihatan berketerampilan, guru tidak perlu berlumba-lumba sehingga ada yang sanggup berhutang. Kita tidak mahu menjadi terlalu materialistik dan tak naklah melahirkan generasi materialistik."

Kebijaksanaan guru


Noraini berkata, cikgu seharusnya menjadi contoh dari segi kepimpinan, ilmu, suci, bersih dan ikhlas. Amalkan sikap wasatiyyah atau kesederhanaan, sebagaimana dituntut dalam Islam.

"Guru mestilah tunjuk minat mengajar dan menggunakan kaedah mengajar yang kreatif. Malah dia juga perlu pandai berinteraksi kepelbagaian seperti serius, tegas, disiplin dan kelakar. Namun semesra mana pun antara guru dan pelajar, tetap menjaga batasannya.

"Kemesraan keterlaluan itu takut disalah tafsir. Apa yang penting adalah rasa hormat pelajar terhadap guru. Dahulu, cikgu bersikap sangat tegas dan autokratik. Ini berbeza dengan cikgu zaman sekarang yang harus bijak mendekati pelajar.

"Bagi saya, pemilihan pakaian itu adalah cita rasa peribadi. Guru perlu selesa dengan penampilan dirinya. Ini boleh memberi pengaruh untuk dia mengajar di kelas. Jika gaya penampilan tidak sesuai dan kurang selesa, ia boleh mengganggu konsentrasinya di kelas," katanya.

Bagaimanapun, kata Noraini, kebijaksanaan seseorang cikgu dalam menyampaikan ilmu mampu mengatasi cara berpakaian. Guru sedemikian mampu mengetuk hati pelajar untuk menghormati, mengasihi dan prihatin.

Pendek kata, walaupun tak cantik atau tak kacak di mata, tapi ikhlas dan tegas dalam mengajar serta menggunakan bahasa yang lembut telinga mendengar, itulah yang membuat pelajar suka.

"Ada juga cikgu yang cantik atau bergaya tetapi kata-katanya yang suka mengutuk, menghina dan menyindir pelajar menyebabkan pandangan mata murid terhadapnya berubah jadi tak cantik.

"Sebenarnya untuk berketerampilan menarik tak perlu beli pakaian atau aksesori yang mahal, ikut trend dan bersolek tebal, tapi biarlah sedap mata memandang. Apa yang lebih penting adalah kredibiliti cikgu tersebut sebagai guru kesukaan ramai, tapi jika cikgu itu cantik dan kacak bergaya itu adalah bonus," katanya.

Jadi sumber inspirasi


Berkongsi pengalaman sebagai guru, Cikgu Siti Nur Hidayah Rahim, 31, mengakui kalangan pelajar memang meminati guru yang tampil bergaya. Ada sahaja pujian dan teguran diberikan murid kepada cikgu.

"Murid-murid di zaman sekarang berbeza dengan kita dahulu. Bahkan murid lelaki pun berminat dengan fesyen. Saya sendiri lebih suka tampil ringkas tapi  bergaya dan fresh.

"Bagi murid perempuan pula mereka lebih tertarik dengan cara saya memakai selendang. Saya memang suka memakai seledang dengan pelbagai teknik.

"Selepas waktu kelas, ada murid yang datang minta saya tunjukkan cara memakai seledang.  Ini secara langsung menarik minat mereka untuk berhijab di luar.

"Saya pernah pergi ke kelas tanpa mekap. Lalu ada murid tegur bila saya nampak lain, tak seperti selalu. Ada yang tanya, kenapa tak pakai gincu dan sebagainya. Apa pun bagi saya, menjaga penampilan diri ada satu kepuasan untuk kelihatan menarik."

Siti Nur Hidayah menambah, pakaian hanya luaran tetapi yang penting adalah cara seseorang guru itu mengajar. Apabila guru tersebut berjaya menambat hati pelajar dengan cara pengajarannya, ia mampu memberi ilmu bermanfaat kepada pelajar secara berkesan.

Beliau turut seronok dapat mengajar murid-murid yang bersemangat belajar. Selain daripada pendidikan secara formal di dalam kelas, pendidikan tidak formal juga penting.

Oleh

Post a Comment

0 Comments