TBILISI, Georgia - Seorang ahli astrofizik berjaya membentuk menara bola tenis dengan menggunakan daya geseran tanpa sebarang pita pelekat, gam atau apa-apa bahan lain, lapor akhbar Daily Mail.
Prof. Andria Rogava, 54, hanya menggunakan permukaan kasar pada bola tenis tersebut serta tekanan bagi mendirikan menara setinggi sembilan tingkat. Sebanyak 25 bola tenis digunakan untuk menara itu malah ketinggiannya boleh ditambah lagi.
Pada awalnya, dia membina sebuah piramid empat tingkat dengan tapak berbentuk tiga segi. Sebanyak 10 bola terletak pada bahagian tapak atau tingkat satu piramid itu, enam lagi bola di tingkat seterusnya, tiga di tingkat ketiga dan satu di puncak.
“Pejabat saya ada kira-kira 20 bola tenis terpakai, jadi saya memutuskan untuk cuba membina piramid bola tenis.
“Apabila saya membuang tiga bola di sudut bawah piramid termasuk bola tenis di puncak, siaplah satu binaan simetri yang cantik dengan 16 bola,” jelasnya.
Kunci untuk membina menara itu adalah bola pada bahagian atas kerana ia perlu memberi tekanan kepada lapisan bola tenis di bawah.
Sebaik menerima tekanan dari atas, bola di bahagian bawah menghasilkan daya geseran dengan bantuan permukaan kasar serta tekanan balas terhadap bola di atas, sekali gus menstabilkan binaan menara itu.
Apabila bentuk asas menara telah dibina, struktur tersebut boleh dibina lebih tinggi dengan menambah tiga bola tenis pada setiap tingkat seterusnya.
Rogava berhasrat membina lebih banyak struktur binaan yang rumit pada masa akan datang, malah dia telah membina piramid frustum eksotik menggunakan 46 bola tenis. – Agensi
0 Comments