About Me

header ads

Aplikasi 'MySekolah' pantau aktiviti pelajar


KUALA LUMPUR 25 Ogos - Aplikasi mudah alih 'MySekolah,' bakal diperkenalkan bagi membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini mengenai aktiviti anak-anak mereka di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, untuk permulaan aplikasi itu akan melalui tempoh percubaan di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok, Kedah; SK Datin Fatimah di Kuala Nerang, Kedah dan SK Precint 14, Putrajaya.

Menurutnya, tempoh percubaan itu akan berlangsung selama tiga bulan di sekolah terbabit untuk melihat keberkesanan dan kesesuaian aplikasi itu, sebelum diperluaskan kepada lebih banyak sekolah.

"Aplikasi berkenaan, antara lain akan merekodkan dan memaparkan informasi mengenai kehadiran anak-anak ke sekolah, jadual pembelajaran, keputusan peperiksaan atau aktiviti yang berlangsung di sekolah," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Celcom Axiata Berhad, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Orangetree Production Sdn Bhd, yang bersama-sama membangunkan aplikasi itu bagi memudahkan komunikasi secara langsung antara ibu bapa dan pihak sekolah.

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Sdn. Bhd., Datuk Seri Shazalli Ramly; Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Orangetree Production Sdn. Bhd., Datuk Seri Jaspal Singh Korotana.

Kamalanathan berkata, kementerian amat mengalu-alukan usahasama itu, selari dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia dan anjakan kesembilan iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas. - BERNAMA

Post a Comment

0 Comments